Thursday, July 29, 2004

Pelan Integriti Nasional -- sasaran meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah

Petikan daripada esei saya untuk Pertandingan Menulis Makalah Undang-undang 2004 yang bertajuk:"Hukuman gantung ke atas pemberi dan penerima boleh membendung jenayah rasuah?".

--------------------------------------------------------------

Oleh kerana rasuah adalah satu jenayah yang dilakukan secara sulit, maka adalah mustahil untuk mendapatkan perangkaan tentang kes rasuah yang sebenarnya berlaku. Sebagai alternatif, persepsi terhadap kejadian rasuah seringkali digunakan sebagai kayu ukur. Indeks Persepsi Rasuah yang diterbitkan oleh Transparency International merupakan sumber berwibawa. Indeks tersebut diperolehi dengan soal-selidik untuk mendapatkan perspektif ahli perniagaan asing terhadap rasuah dalam sektor awam.

Kedudukan Malaysia ialah dalam lingkungan 4.8 hingga 5.32 daripada skala 10 bagi tempoh 1996-2003. Kedudukan Malaysia adalah jauh di belakang dengan negara jiran kita, Singapura yang mencapai markah melebihi 9 dan berkedudukan dalam senarai 10 negara yang paling kurang rasuah.

Dalam aspek ini, Kerajaan Malaysia telah menggariskan Pelan Integriti Nasional [i] yang bertujuan untuk menggubal strategi bagi semua sektor masyarakat demi memantapkan nilai etika dan integriti. Pelan ini mempunyai sasaran lima tahun (2004-2008) yang konkrit iaitu untuk mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam  Indeks Persepsi Rasuah dari 5.2 (tahun 2003) ke 6.5 (tahun 2008). [ii]
 
[i] Dato Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Ucapan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional, 23 April 2004, http://www.pmo.gov.my/

[ii] New Straits Times, 27 Julai 2004 ,ms8.




No comments: